Saya berminat dalam bidang seni sejak tahun 1954, ketika itu menjadi guru sekolah Melayu di Singapura, dalam masa yang sama aktif dalam bidang seni, berlakon pentas dibawah arahan dan bimbingan dramatis terkenal Kalam Hamidi sehingga saya akhirnya menjadi pengarah pentas. banyak juga drama yang saya arahkan di Singapura di Panggung Victoria. Antaranya drama Malam Terakhir tulisan A Syukor Haron dan Anak Yang Belum Lahir tulisan Aimi Jarr, ketika drama inilah P.Ramlee datang menontonnya.
Drama ketiga "Senja Merah" tulisan A Syukor Haron, saya dan rombongan drama ini ke Kuala Lumpur diundang oleh Persatuan Trengkas Kuala Lumpur. Saya dapat peluang membawa kumpulan drama saya berlatih di rumah P.Ramlee di Jalan Bunga Kantan. P.Ramlee telah memberi kerjasama dengan menunjuk ajar cara-cara berlakon secara sepontan.
Yang terlibat antaranya ialah Mustafah Yassin Art Director dari Studio Jalan Ampas menjaga bahagian make-up dalam drama tersebut, Kassim Masdor inchage bahagian lighting dan muzik, pelakon lelakinya ialah S Rossley (Bintang Anak Buluh Betong) Drama mendapat sambutan hangat, P.Ramlee membawa rombongan kami makan di Brickfields.
Sekembalinya ke Singapura, Persatuan Taman Bacaan Singapura meminta saya mengarahkan sebuah drama "Siapakah Bersalah" tulisan Megat Ramli, dari drama inilah saya ingin membuat pembaharuan dengan menyelitkan sebuah lagu untuk dinyanyikan oleh pelakon wanita pertama. Saya meminta Kassim Masdor mencipta lagunya, dan saya menulis liriknya, berjudul "Kasih Sepanjang Masa" setelah selesai pementasan Kassim Masdor yang bertugas di Syarikat EMI menerbitkan rekod EP nyanyian Fazedah Juned, akhirnya lagu ini telah dirakamkan oleh beliau.
Dari saat itulah Kassim Masdor memberi kepercayaan kepada saya untuk menulis lirik, maka terhasillah lirik-lirik saya seperti Gelisah nyanyian Ahmad Jais dan Sanisah Huri (Bukan berduet) tetapi Sanisah Huri rakam semula. Lagu Nilai Cinta nyanyian Saloma dan Ahmad Daud, Lanang Tunang Tak Jadi dan Senjakala kedua-duanya nyanyian P.Ramlee. Zunika nyanyian A. Romzi, Bersabarlah Sayang nyanyian Sanisah Huri, Hari Ini dan Semalam nyanyian J.Mizan dan banyak lagi termasuk lagu-lagu Hari Raya dan lag-lagu Pengantin.
Saya berguru dengan P.Ramlee dalam bidang penulisan Screenplay, sejak tahun 1959, belajar seminggu dua tiga kali di rumahnya di Cedar Avenue Singapura. Saya terpaksa menunggu beliau pulang dari studio sehingga jam 12 dan kadang-kadang 1 malam, saya sabar dan masih menanti, kerana pada saya bukan mudah mendapat ilmu dan bimbingan secara peribadi dengan beliau. Saya bersyukur kepada Allah swt dengan bimbingannya saya dapat berdiri sendiri sehingga hari ini. Anugerah beliau yang tidak dapat saya lupa sehingga akhir hayat saya ialah nama "YUSNOR EF" yang diberi kepada saya pada tahun 1959 hari Minggu jam 11 pagi di rumahnya di Cedar Avenue Singapura dengan beliau menulis nama itu di atas file saya dan berkata "Pakai nama ini nanti naik" saya amat berterima kasih dan bersyukur dengan izin Allah saya dapat meneruskan karya seni saya dengan menggunakan nama itu.
Sekian,untuk sementara, akan saya sambung banyak lagi kisah-kisah lucu, sedih, hiba dan gembira sepanjang hidup saya dan kisah-kisah sebenar antara saya bersama guru saya P.Ramlee.
kata-kata falsafah P.Ramlee yang diberi kepada saya dan sehingga hari ini saya berpandukannya:
"karya seni adalah satu daripada kerja Tuhan, oleh itu buatlah bersungguh-sungguh dengan penuh kejujuran"
" Buat apa yang engkau fikir betul, jangan peduli apa orang kata, Allah tahu apa yang engkau buat"
Sekian, nantikan Bicara Lagenda seterusnya.
Selamat Datang ke dunia BLOG!!
ReplyDeleteSelamat berblog, Pak Yus!
ReplyDeleteTerima kasih kerana dorongan sahabat seperti Rita Dan Yaman membuatkan menjadi bloger. Tahniah. Kepada Yaman yang berjaya dalam karyanya . Gambar anda full page hebat sheh.......
ReplyDelete