Thursday, July 5, 2012

Muncul Kembali

Saya bermohon maaf kerana lama tidak aktif. kerana ada masalah teknikal. InsyaAllah akan saya mulakan dengan banyak lagi bicara lengenda khusus tentang  seni dan budaya bangsa sebagai  khazanah warisasn  Bangsa dan Negara. Marilah kita sama-sama berbicara secara berhemah dan menjaga tatatertib sebagai bangsa yang bermaruah. InsyaAllah manfaatnya akan kita rasa bersama.

Seni Disanjung ,Budaya Dijunjung.

Wednesday, February 9, 2011

Bahagian ketiga Kisah Aku Dia dan Lagu

Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera. Agak lama saya tidak berbicara dengan anda, ini kerana kesibukan kerja-kerja production yang sedang saya lengkapkan. Kali ini ingin saya berkongsi pengalaman dengan anda tentang perkembangan muzik Melayu ketika ini. Saya berbangga kerana ramai pemuzik, penyanyi, penulis lirik,penerbit dan pencipta lagu yang lahir dari kalangan anak-anak muda Melayu. Selain dari timbulnya melalui rancangan-rancangan reality yang lebih menggunakan "SMS" terdapat juga ramai yang hadir dalam persada industri muzik Melayu dari mereka yang benar-benar berbakat melalui peraduan nyanyian yang tidak memnggunakan SMS, lahirnya mereka oleh kerana bakat, usaha dan peluang yang mereka dapat melalui peraduan yang diadili oleh pengadil-pengadil profesional yang memang pakar dalam satu-satu bidang mengenai muzik.

Apa yang di khuatirkan ialah takut-takut mereka yang datangnya dari peraduan melalui pemilihan SMS ini akan melebihi dari yang diperlukan, akhirnya mereka hanya sebagai penyanyi setakat itu sahaja, bakat mereka akan terhenti dengan  rasa  kecewa akhirnya  hanya tinggal dalam impian yang tidak  kesampaian. Pihak TV dan radio station ruangnya terlalu terhad, dan agak susah untuk menampung sepenuhnya. Jadi pihak-pihak yang berkenaan cubalah fikir-fikirkan agar persada seni kita khususnya seni muzik dan seni suara yang sangat-sangat diminati oleh anak-anak muda ketika ini diberi ruang untuk mereka terus berkarya dan banyakkan rancangan-rancangan yang benar-benar menuju ke arah profesional. Hanya setakat ini untuk kali ini. InsyaAllah berjumpa lagi dalam Bicara Lagenda Aku Dia dan Lagu. terima kasih.

Monday, January 24, 2011

Aku Dia dan Lagu - bahagian 2

Assalammualaikum wrt selamat bertemu dalam Bicara Legenda "Aku Dia dan Lagu" kini saya berada di Kota Baharu ,Kelantan.negeri yang pertama Kali saya berpeluang lawati .memang indah dan mempunyai berbagai bagai jenis makanan. Berpeluang ke Pasar Siti khadijah dan ke pasar borong. Yang menjadi masalah sementara, kepada saya ialah loghat bahasa mereka agak kurang saya fahami, tetapi  seronok mendengar mereka berbual. Memang banyak pengalaman terbaru saya, makanan yang dihidangkan nasi berlauk, nasi dagang, nasi kerapu, kuih Cik Mek, dan macam-macam lagi, sempat mengikuti sahabat saya Rita dan suaminya Yaman seorang photographer proffesional  memberi bengkel di kalab OKU yang mempelajari photography, sungguh pun kurang upaya, namon semangat mereka dan hasrat mendalam untuk berjaya dalam hidup  amat besar, saya kagum dengan mereka shabass saya ucapkan kepada mereka. Salah seorang dari mereka dapat tahu yang saya penulis lirik veteran dan berkecimpung dalam muzik sejak tahun 50-an, belaiu berbangga dan mendengarkan suaranya dalam nyanyiannya sendiri melalui telefon bimbitnya, suaranya baik, penyampaian lagunya baik dan mempunyai potensi dalam bidang nyanyian.

itulah satu anugerah Allah, kelebihan seseorang itu bukan diukur dari kecacatannya, tetapi dari intisari dalamannya, kebolehannya, bakatnya dan cita-citanya, itulah kelebihan Allah dalam mengatur hambanya untuk terus hidup.

Friday, January 14, 2011

kisah aku dia dan lagu

Saya berminat dalam bidang seni sejak tahun 1954, ketika itu menjadi guru sekolah Melayu di Singapura, dalam masa yang sama aktif dalam bidang seni, berlakon pentas dibawah arahan dan bimbingan dramatis terkenal Kalam Hamidi sehingga saya akhirnya  menjadi pengarah pentas. banyak juga drama yang saya arahkan di Singapura di Panggung Victoria. Antaranya drama Malam Terakhir tulisan A Syukor Haron dan Anak Yang Belum Lahir tulisan Aimi Jarr, ketika drama inilah P.Ramlee datang menontonnya.

Drama ketiga "Senja Merah" tulisan A Syukor Haron, saya dan rombongan drama ini ke Kuala Lumpur diundang oleh Persatuan Trengkas Kuala Lumpur. Saya dapat peluang membawa kumpulan drama saya berlatih di rumah P.Ramlee di Jalan Bunga Kantan. P.Ramlee telah memberi kerjasama dengan menunjuk ajar cara-cara berlakon secara sepontan.

Yang terlibat antaranya ialah Mustafah Yassin Art Director dari Studio Jalan Ampas menjaga bahagian make-up dalam drama tersebut, Kassim Masdor inchage bahagian lighting dan muzik, pelakon lelakinya ialah S Rossley (Bintang Anak Buluh Betong) Drama mendapat sambutan hangat, P.Ramlee membawa rombongan kami makan di Brickfields.

Sekembalinya ke Singapura, Persatuan Taman Bacaan Singapura meminta saya mengarahkan sebuah drama "Siapakah Bersalah" tulisan Megat Ramli, dari drama inilah saya ingin membuat pembaharuan dengan menyelitkan sebuah lagu untuk dinyanyikan oleh pelakon wanita pertama. Saya meminta Kassim Masdor mencipta lagunya, dan saya menulis liriknya, berjudul "Kasih Sepanjang Masa" setelah selesai pementasan Kassim Masdor yang bertugas di Syarikat EMI menerbitkan rekod EP nyanyian Fazedah Juned, akhirnya lagu ini telah dirakamkan oleh beliau.

Dari saat itulah Kassim Masdor memberi kepercayaan kepada saya untuk menulis lirik, maka terhasillah lirik-lirik saya seperti Gelisah nyanyian Ahmad Jais dan Sanisah Huri (Bukan berduet) tetapi Sanisah Huri rakam semula. Lagu Nilai Cinta nyanyian Saloma dan Ahmad  Daud, Lanang Tunang Tak Jadi dan Senjakala  kedua-duanya  nyanyian P.Ramlee. Zunika nyanyian A. Romzi, Bersabarlah Sayang nyanyian Sanisah Huri, Hari Ini dan Semalam nyanyian J.Mizan dan banyak lagi termasuk lagu-lagu Hari Raya dan lag-lagu Pengantin.

Saya berguru dengan P.Ramlee dalam bidang penulisan Screenplay, sejak tahun 1959, belajar seminggu dua tiga kali di rumahnya di Cedar Avenue Singapura. Saya terpaksa menunggu beliau pulang dari studio sehingga jam 12 dan kadang-kadang 1 malam, saya sabar dan masih menanti, kerana pada saya bukan mudah mendapat ilmu dan bimbingan secara peribadi dengan beliau. Saya bersyukur kepada Allah swt dengan bimbingannya saya dapat berdiri sendiri sehingga hari ini. Anugerah beliau yang tidak dapat saya lupa sehingga akhir hayat saya ialah nama "YUSNOR EF" yang diberi kepada saya pada tahun 1959 hari Minggu jam 11 pagi di rumahnya di Cedar Avenue Singapura dengan beliau menulis nama itu di atas file saya dan berkata "Pakai nama ini nanti naik" saya amat berterima kasih dan bersyukur dengan izin Allah saya dapat meneruskan karya seni saya dengan menggunakan nama itu.

Sekian,untuk sementara, akan saya sambung banyak lagi kisah-kisah lucu, sedih, hiba dan gembira sepanjang hidup saya dan kisah-kisah sebenar antara saya bersama guru saya P.Ramlee.

kata-kata falsafah P.Ramlee yang diberi kepada saya dan sehingga hari ini saya berpandukannya:

"karya seni adalah satu daripada kerja Tuhan, oleh itu buatlah bersungguh-sungguh dengan penuh kejujuran"

" Buat apa yang engkau fikir betul, jangan peduli apa orang kata, Allah tahu apa yang engkau buat"

Sekian, nantikan Bicara Lagenda seterusnya.